Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru agar setiap kumpulan tarekat di Malaysia disusun atur supaya bukan sahaja menepati hak ilmu tetapi lebih dinamik dan progresif dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat, negara dan agama.

Justeru, beliau menyarankan supaya setiap pejabat agama di setiap negeri mencontohi Jabatan Mufti Negeri Sembilan dalam mewujudkan Jalsah Tarekat Sufiyyah yang bertanggungjawab mewujudkan enakmen tarekat untuk mengawal dan memantau aktiviti tarekat.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Zikir Perdana 2015 anjuran Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (Pertama) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha dan Yang Dipertua Pertama, Datuk Ashari Ibrahim.

Pertama didaftarkan secara rasmi pada 11 Sept lepas sebagai pertubuhan yang sah di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Ahmad Zahid berharap agar Pertama turut dapat bersama-sama membantu dan saling bekerjasama dalam menangani fahaman-fahaman yang terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti fahaman syiah, sekularisme, liberalisme dan lain-lain.

Mereka perlu meningkatkan cinta kepada Allah dan Rasul dan berpegang teguh dengan salah satu daripada empat Mazhab iaitu Mazhab Syafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali, katanya.

"Amat penting bagi membendung fahaman-fahaman yang terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah bagi mengekalkan keharmonian dalam negara," tegasnya.

Katanya beliau difahamkan terdapat pelbagai golongan yang ada dalam Pertama seperti tuan-tuan guru pondok dan madrasah, pensyarah, ahli perniagaan, aktivis badan bukan kerajaan dan ahli badan professional.

"Justeru, saya mendoakan agar Pertama dapat membuat pembaharuan dan pembetulan dalam memainkan peranan positif ke arah membina insan madani sekali gus mewujudkan satu institusi yang tersohor dalam pembangunan dakwah dan kerohanian," katanya.