Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan Cox's Bazar bagi menilai situasi pelarian Rohingya pada lawatan kerjanya ke Bangladesh bermula Ahad ini.

Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, lawatan dua hari itu merupakan lawatan pertama Ahmad Zahid ke negara berkenaan sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2015.

Selain menghadiri mesyuarat dua hala, Ahmad Zahid juga akan melawat Cox's Bazar yang dilaporkan dibanjiri pelarian Rohingya sekali gus mencerminkan kebimbangan dan keseriusan Malaysia berhubung isu pelarian Rohingya secara amnya, kata Wisma Putra.

Pada lawatan itu, Ahmad Zahid dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina selain bertemu dengan menteri-menteri berkaitan bagi menilai perkembangan hubungan dua hala sedia ada serta meneroka bidang kerjasama baharu yang saling memanfaatkan kedua-dua negara.

"Malaysia optimis lawatan ini akan terus memperkukuh hubungan persahabatan yang terjalin antara Malaysia dan Bangladesh bukan sahaja dalam bidang kerjasama dua hala tetapi juga isu serantau dan antarabangsa," kata Wisma Putra.

--BERNAMA