Perak mempunyai sebuah lagi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) menerusi pembinaan MRSM Bagan Datuk, yang dijadual siap pada 2020.

Pembinaan MRSM Bagan Datuk, institusi MRSM kesembilan di Perak, kini giat dilaksanakan dengan majlis pecah tanah pembangunannya disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Perak sebelum ini mempunyai MRSM di Taiping, Gerik, Lenggong, Pasir Salak, Pengkalan Hulu, Parit, Kuala Kangsar dan Trolak.

Penubuhan insititusi pendidikan itu bakal menjadi pemangkin bagi daerah Bagan Datuk, sekali gus melonjakkan tahap sosial ekonomi dan memperluas lagi peluang pendidikan khususnya kepada anak-anak Perak.

MRSM Bagan Datuk akan menjalankan sistem pendidikan Ulul Albab, yang merangkumi pengajian Al Quran (hafazan) bagi melahirkan pelajar yang mempunyai keupayaan menghadapi dunia globalisasi yang serba mencabar.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat Datuk Azhar Abdul Manaf berkata MRSM Bagan Datuk adalah MRSM Program Ulul Albab yang ketujuh selepas MRSM di Gemenceh (N. Sembilan); Sungai Besar (Selangor); Kepala Batas (P. Pinang); Kota Putra (Terengganu); Semporna (Sabah) dan Ketereh (Kelantan).

"Program ini akan melahirkan generasi Ulul Albab yang berkebolehan menghafaz 30 juzuk Al-Quran serta memahami tuntutannya.

Pembinaan ini turut membuktikan komitmen kerajaan yang memberi perhatian terhadap prasarana pendidikan bagi pewaris negara," katanya.

Selain MRSM Bagan Datuk, terdapat empat lagi MRSM yang akan dibina iaitu MRSM Sik di Kedah, MRSM Bera (Pahang), MRSM Ketereh (Kelantan) dan MRSM Tanah Merah (Kelantan) dengan peruntukan keseluruhan RM570 juta.

Sehingga kini sebanyak 54 buah MRSM diwujudkan di seluruh negara.

-- BERNAMA