Seorang mangsa bom karam sempat memeluk rakannya yang hampir hanyut setelah bot mereka berlanggar dengan sebuah kapal dagang, awal pagi Selasa.

Mangsa yang juga awak-awak, Phaisan Dalem, 45, berkata dia kesal kerana tidak sempat menyelamatkan rakannya Ekkachai Sutprasoet, 30an, yang sebelum itu dilapor terkapai-kapai memanggilnya.

Dia sebelum itu berpaut pada serpihan papan bot yang karam sebelum berenang menghampiri Ekkachai yang ketika itu sudah tidak bernafas.

Katanya, dia sempat menarik dan memeluk mayat mangsa selama beberapa jam sebelum melepaskan dan membiarkannya hanyut kerana sudah tidak berdaya.

Menurut Timbalan Pengarah Operasi Maritim Wilayah Utara, Kapten (M) Zulinda Ramly, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) segera mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejurus menerima panggilan sekitar jam 8 pagi Selasa.

Gerakan SAR sedang berjalan selepas ditangguhkan pada jam 7 malam Selasa.

Setakat ini, mangsa yang hilang masih belum dijumpai.

Dalam kejadian awal pagi Selasa, seorang awak-awak lemas manakala seorang lagi masih hilang apabila bot yang mereka naiki karam selepas berlanggar dengan sebuah kapal dagang.

Insiden berlaku 35 batu nautika dari perairan Kuala Muda.

Mangsa yang lemas dikenali sebagai Somchok Sutprasoet, 30 an, manakala adiknya, Ekkachai masih hilang.

Selain Phaisan, seorang lagi yang terselamat ialah tekong bot Anukun Matuwet, 58.