Dua maut dalam kemalangan jalan raya ketika orang ramai merebut peluang bercuti sempena cuti perayaan Deepavali yang disambut pada Ahad.

Pada awal pagi Isnin, selain kedua-dua mangsa yang maut, tiga individu lain termasuk seorang anggota polis trafik cedera selepas terlibat dalam tiga kemalangan berasingan di antara Kilometer 273.3 sehinggga 274.4 arah selatan dari Nilai ke Bandar Ainsdale, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintendan Azrul Hisham Mohd Shaffie berkata, kemalangan seawal jam 6.30 hingga 7.30 pagi itu melibatkan 13 buah kenderaan termasuk sebuah kereta peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebuah lori.

Menurut beliau, dalam kejadian 6.30 pagi itu, kemalangan pertama berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Iswara gagal memberhentikan kenderaannya lalu merempuh belakang kereta Volkswagen di KM 273.3, di sini.

Selepas berlaku rempuhan pertama, Proton Iswara tersebut telah terbabas ke lorong kanan namun dirempuh pula oleh tiga kenderaan lain.

Katanya, akibat kemalangan itu, seorang penumpang Proton Iswara, K Thanesh, 23, maut di tempat kejadian.

“Susulan kemalangan tersebut, anggota AIO Trafik Sektor 4 Zon Tengah Bukit Aman telah respon ke tempat kejadian dan ketika berada di lokasi, anggota berkenaan telah meletakkan kenderaan pasukan PDRM jenis Proton Saga di lorong kecemasan.

“Namun ketika keluar untuk membuat siasatan awal, anggota itu bagaimanapun dilanggar oleh sebuah kereta jenis Toyota Corolla yang terbabas memasuki lorong kiri gara-gara mahu mengelak kemalangan di lorong kanan sebentar tadi.

“Kereta jenis Toyota Corolla itu dilaporkan bergesel dengan sebuah lori sebelum merempuh anggota trafik berusia 51 tahun itu. Akibat perlanggaran tersebut, anggota berkenaan tercampak di atas jalan dan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan lain-lain anggota badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azrul Hisham, kemalangan ketiga direkodkan apabila kereta jenis Jaguar gagal mengawal kenderaannya ketika tiba di KM 274.4 sebelum merempuh empat buah deretan kenderaan yang bergerak perlahan di lorong kanan.

“Pada jam lebih kurang 7.30 pagi pula, berlaku satu lagi kemalangan pada jarak lebih kurang satu kilometer dari kemalangan maut yang pertama.

"Insiden dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Jaguar dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar deretan kenderaan di hadapannya.

“Sebanyak empat buah kereta lain terlibat dalam perlanggaran ini hingga menyebabkan sebuah kereta jenis Perodua Axia hancur kerana dirempuh oleh kereta Jaguar berkenaan.

“Pemandu Perodua Axia, Utan Nuieng, 33, pula disahkan maut di tempat kejadian manakal penumpangnya iaitu seorang wanita berumur 40 tahun mengalami cedera parah,” katanya.

Kereta Jaguar yang dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar deretan kenderaan di hadapannya. - Gambar PDRM

Beliau berkata, kesemua yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban manakala mangsa yang meninggal dunia pula akan dibedah siasat di Jabatan Forensik HTJ bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Azrul Hisham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.