Zon penampan yang lebih luas antara kawasan industri dengan zon perindustrian semata-mata, tidak memadai untuk menghalang insiden pencemaran udara di Pasir Gudang daripada berulang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, gas beracun masih boleh tersebar dengan melangkaui zon penampan.

“Saya ada berbincang juga (mengenai zon penampan untuk halang insiden berulang), namun ia tidak memadai kerana kes pencemaran ini berpunca daripada gas.

“Gas itu boleh ditiup angin dan dibawa daripada zon perindustrian melangkaui zon penampan (ke kawasan perindustrian),” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata, keputusan menutup sekolah di Pasir Gudang bergantung kepada sekiranya terdapat kes baharu membabitkan pelajar atau guru yang terjejas dengan pencemaran udara di kawasan itu.

“Berdasarkan laporan yang saya terima pagi tadi, tiada insiden membabitkan pelajar sekolah terkesan dengan pencemaran udara di sana.

“Namun, kita masih menunggu sekiranya ada kes hari ini kerana kes pelajar loya dan muntah kebiasaannya berlaku sekitar jam 11 pagi dan ke atas.

“Setakat ini tidak ada sebab untuk tutup sekolah. Apa yang pasti, laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan bahawa insiden kali ini berbeza dengan kes Sungai Kim Kim,” katanya.

Beliau mengulas isu tersebut susulan kejadian 130 pelajar dan guru mengalami sesak nafas dan muntah hanya kurang dua jam sekolah dibuka semalam.