Seminggu selepas peristiwa berdarah di Christchurch, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa akan menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid al-Noor, masjid yang sama insiden berdarah itu berlaku.

Mujahid yang mewakili kerajaan Malaysia berlepas ke New Zealand petang Khamis dan akan mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa tembakan rambang di Christchurch Jumaat lepas.

Beliau akan bertemu keluarga Allahyarham Muhammad Haziq Mohd Tarmizi sebelum kembali ke Malaysia untuk menyertai Himpunan Solidariti Kedamaian di ibu negara pada Sabtu.

"Saya diminta mewakili Malaysia untuk pergi ke sana (New Zealand) untuk menziarahi keluarga mangsa yang juga rakyat Malaysia dan menguruskan apa-apa keperluan di sana serta mengadakan pertemuan dengan pimpinan kerajaan New Zealand untuk mengucap takziah atas apa yang berlaku.

BACA: Tragedi solat Jumaat Christchurch: Muhammad Haziq selamat dikebumikan

"Selain itu merakamkan terima kasih kepada kerajaan New Zealand yang mengedalikan mayat-mayat mangsa dan akan melawat tempat kejadian serta kemungkinan besar saya akan diminta untuk menyampaikan khutbah," katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke New Zealand.

Mujahid juga memaklumkan akan berkongsi maklumat lanjut tentang apa yang berlaku kepada Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17 tahun, rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi serangan pengganas yang berlaku di Masjid Al-Noor di Deans Ave pada Jumaat lepas.

"Kedutaan mungkin ada maklumat lengkap dan saya akan kongsi bila mendapat maklumat lengkap tentang apa yang berlaku kepada Muhammad Haziq," katanya lagi.

Beliau juga memaklumkan tiada permintaan supaya jenazah Allahyarham Muhammad Haziq dibawa pulang ke Malaysia.

Jenazah Allahyarham Muhammad Haziq selamat dikebumikan di Memorial Park Cemetery Bromley di Linwood, Christchurh selepas waktu Zohor (waktu tempatan) pada Khamis.

Bapa kepada arwah, Mohd Tarmizi mengiringi jenazah anak lelakinya, Haziq sewatu pengebumian yang turut disertai ratusan umat Islam dari Malaysia, Afghanistan dan Iran.