Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan tiada pelajar Malaysia terlibat dalam insiden tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat.

Menurut Menterinya, Maszlee Malik, ketika kejadian, kebanyakan pelajar berada di universiti masing-masing.

“Terdapat dua universiti di Christchurch iaitu Universiti Canterbury dan Universiti Lincoln yang mempunyai pelajar Malaysia.

“Setakat jam 5 petang, KPM melalui Education Malaysia Australia mengesahkan tiada pelajar Malaysia di Christchurch yang terlibat di dalam insiden ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pihak Education Malaysia Australia telah berhubung dengan wakil pelajar Malaysia di kedua-dua universiti berkenaan dan mengesahkan jumlah pelajar Malaysia di Universiti Canterbury adalah seramai 270 orang manakala di Universiti Lincoln 33 orang.

Maszlee juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam dan zalim individu yang menyerang umat Islam di dua masjid di sana.

Beliau berharap semua pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di sekitar Christchurch dan bandar-bandar lain di New Zealand menjaga keselamtan dan mengikut arahan pihak berkuasa tempatan.