Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata proses peremajaan UMNO sedang berjalan lancar dan mula menampakkan hasil positif.

Beliau berkata walaupun masih ada sebilangan anggota parti itu yang belum bersedia untuk berubah dari segi minda dan budaya, namun beberapa perubahan dan pembaharuan yang dilaksanakan menampakkan penerimaan yang lebih baik dalam kalangan anggota parti.

Antaranya pemilihan secara langsung yang dilaksanakan buat julung kalinya oleh parti itu dalam pemilihan UMNO tahun lepas, yang melibatkan penyertaan lebih 160,000 anggota akar umbi layak memilih pucuk pimpinan parti pada semua peringkat, berbanding hanya 2,600 perwakilan parti sebelum ini.

"Saya akui (transformasi) belum sepenuhnya lagi, tetapi saya anggap ini sebagai satu perjalanan. Ini mungkin fasa pertama (pemilihan parti). Selepas ini kita perlu melihat apakah kaedah yang lebih baik dan bagaimana hendak ubah mindset atau sikap dan nilai manusia serta pemimpin-pemimpin dalam konteks peringkat akar umbi.

"Dalam proses peremajaan parti, ia tidak mungkin berlaku dalam tempoh masa satu penggal sahaja atau kurang daripada satu penggal. Dalam satu penggal ada penggantian dengan pemimpin-pemimpin lebih muda dan baharu dan selanjutnya proses ini akan kita teruskan dan kita perlu mengenal pasti bakat atau talent baharu yang boleh kita ketengahkan," katanya.

Perubahan yang dilakukan susulan pindaan perlembagaan parti pada 2009 itu antara lain bertujuan mengekang politik wang dalam parti; menjadikan parti itu lebih terbuka, inklusif dan lebih demokratik.

Najib berkata demikian dalam rancangan Ruang Bicara Khas Bersama Perdana Menteri terbitan Bernama TV yang disiarkan melalui saluran Astro 502 malam ini.

Perdana menteri ditemu ramah selama sejam oleh Ketua Pengarang Bernama Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama TV Datuk Ibrahim Yahaya dan Penolong Pengarang Jamaluddin Muhammad sempena ulang tahun UMNO ke-68, di Pejabat Perdana Menteri.

Perdana menteri berkata proses peremajaan UMNO perlu dilaksanakan melalui usaha yang tersusun supaya ia dilihat sebagai sebuah parti yang memang mengiktiraf kepimpinan baharu, intelektual, profesional selain turut mempunyai gandingan generasi muda atau GenY.

Mengenai pendapat pihak tertentu kononnya Umno gagal membudayakan peremajaan dalam parti, kerana tidak banyak muka-muka baharu yang berjaya melangkah masuk dalam barisan kepimpinan selepas pemilihan tahun lepas, Najib berkata sebenarnya lebih kurang 35 peratus ada perubahan kepimpinan dari segi ketua bahagian.

Najib berkata anjakan kepimpinan tidak boleh dilakukan secara mengejut sebaliknya mesti dilakukan berasaskan kesinambungan dan pembaharuan.

"Dua unsur ini perlu kita lakukan secara serentak. Maknanya ada pemimpin-pemimpin yang perlu kekal sebab khidmat mereka masih diperlukan. Ada juga pemimpin baharu yang kita ketengahkan, kita naikkan kedudukan mereka dalam kerajaan, dalam parti di mana sumbangan mereka akan lebih meluas lagi," jelas beliau.

Bagaimanapun kata Najib, UMNO adalah parti demokratik dan cuma boleh menggambarkan hasratnya berhubung perkara itu, tetapi kata putus tetap terletak di tangan anggota parti semasa pemilihan parti.

"Tak semestinya mereka kekalkan (semua) pemimpin sedia ada, dan mungkin juga mereka tolak semua. Jadi kalau pemimpin lama masih boleh berkhidmat dan memberi sumbangan serta mendapat sokongan daripada ahli, mereka akan kekal sebagai pemimpin," katanya memberi gambaran.

Menyentuh usaha pengkaderan, iaitu membentuk generasi muda UMNO untuk menjadi pemimpin dan pejuang parti yang sebenar, Najib berkata ruang perlu diberikan kepada pemimpin-pemimpin baharu, khususnya daripada kalangan profesional untuk diserap dalam barisan kepimpinan parti bagi mencerminkan komposisi masyarakat secara keseluruhan tanpa mengetepikan pemimpin-pemimpin akar umbi.

Dalam pada itu, ditanya mengenai perasaan beliau apabila UMNO sering ditebak sebagai 'parti tua' dan 'ketinggalan zaman', khususnya oleh golongan muda, walaupun pelbagai rancangan telah dilakukan untuk membawa negara ke tahap lebih tinggi, Najib secara tenang menyifatkan pendapat itu mencerminkan keterbukaan dan kematangan masyarakat dalam melontarkan pandangan berbanding sebelum ini.

"Dari satu segi perkara ini boleh dilihat sebagai satu perkembangan sihat. Dari satu segi kita sebagai pemimpin kena banyak bersabar. Orang kata apa pun kena terima hakikat bahawa tidak ada satu aliran pandangan berbanding dengan masa lalu. Kepelbagaian pendapat merupakan sesuatu yang boleh dikatakan kelaziman dalam masyarakat yang semakin terbuka, semakin matang dan semakin terdidik," katanya.

Bagi Najib, yang penting ialah majoriti masih bersama-sama UMNO, termasuk golongan muda, yang terbukti berdasarkan pertambahan kerusi parti itu pada pilihan raya umum ke-13, kata Najib.

Menjawab soalan berhubung pengukuhan Barisan Nasional (BN), Najib berkata BN perlu mencari formula untuk muncul sebagai sebuah parti dalam erti kata sebenarnya dan bukan masing-masing bergerak sebagai komponen yang berbeza.

"Kita perlu kongsi satu platform di mana kita bersama-sama dapat dilihat sebagai BN yang sebenar. Bukan MCA, MIC dan UMNO berasingan. Ini merupakan satu model politik baharu dan kita kena fikir ke hadapan. Sebab nasib rakan-rakan dalam BN kena fikir juga supaya dapat tambah kekuatan kita secara keseluruhan," katanya.

Menyentuh 'kemarau' sokongan kaum Cina terhadap komponen parti BN yang diwakili MCA, termasuk ketika pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang baru-baru ini, Najib berkata parti itu tidak oleh merasa kecewa, sebaliknya perlu teruskan usaha untuk meyakinkan masyarakat itu tentang komitmen parti untuk mewakili kepentingan kaum itu.

"Mereka (MCA) kena tambah engagement dengan kaum Cina. Jelaskan kepada mereka di samping mendengar rintihan dan keluhan kenapa mereka tidak menyokong kerajaan dan cuba beri jawapan kepada keadaan sebenar supaya masyarakat tidak keliru dengan hasutan dan dakwaan daripada parti pembangkang," katanya.

Perdana menteri juga berpendapat kemasukan wakil MCA ke dalam kabinet adalah perlu bagi memastikan kerajaan mendapat input sewajarnya daripada masyarakat kaum Cina selain membolehkan kaum itu diwakili dalam penggubalan dasar dan keputusan negara.

Bagaimanapun, kata Najib, komponen-komponen parti BN perlu terus melaksanakan proses pemulihan parti yang disifatkan masih belum selesai dan menambah kata mereka mempunyai waktu yang terhad sebelum berlangsungnya pilihan raya umum seterusnya.

Terdahulu, ketika diminta mengulas mengenai ulang tahun UMNO esok, Najib berkata dalam usia mencecah 68 tahun, tidak bererti ia semakin lemah atau kurang bertenaga, sebaliknya UMNO membuktikan ia masih parti yang berwibawa dan terkuat di negara ini dengan penambahan jumlah kerusi yang dimenangi parti itu pada pilihan raya umum lepas.

Bagaimanapun kata Najib, sebagai sebuah parti, UMNO perlu melalui transformasi dan menghadapi cabaran untuk memastikan parti itu kekal relevan pada setiap zaman.