Lima parah manakala sembilan, termasuk seorang bayi, cedera ringan, selepas kenderaan dinaiki mereka terperosok ke bawah sebuah treler dalam kemalangan di kilometer (km) 222.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam berhampiran Pedas Linggi itu, treler yang dipandu lelaki berusia 31 tahun berkenaan secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melintang di tengah lebuh raya.

Kejadian turut mengakibatkan kesesakan lebih 12km.

Menurut Ketua Polis Daerah Rembau DSP Anuar Bakri Abdul Salam, siasatan awal mendapati treler yang dalam perjalanan dari Klang, Selangor ke Melaka itu dipandu di lorong kiri, sebelum dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan.

Ekoran kejadian itu, tiga kenderaan lain gagal mengelak dan terperosok ke bawah treler berkenaan.

"Kenderaan Honda Jazz, Toyota Hilux dan Nissan Grand Livina, yang datang dari arah yang sama, telah tidak sempat mengelak, merempuh bahagian badan treler tersebut.

"Akibat kemalangan itu, pemandu dan tiga penumpang Honda Jazz serta pemandu Toyota Hilux, cedera parah manakala pemandu Nissan Grand Livina dan treler itu tidak mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan.

Anuar Bakri berkata, maklumat penuh mangsa yang mengalami kecederaan parah masih belum diperolehi.

"Kesemua mangsa telah dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Alor Gajah, Melaka untuk rawatan lanjut," tambahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Bernama melaporkan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, seramai sembilan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson dikerah ke lokasi kejadian, sebaik menerima panggilan kecemasan.