Kemalangan yang melibatkan sebuah bas dan sebuah treler di Kilometer 16 Jalan Lipis-Merapoh malam tadi berpunca apabila pemandu bas berkenaan tidak menyedari treler rosak itu yang diletakkan di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Azry Akmar Ayob berkata dalam kemalangan pada 9.36 malam itu, treler berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan 'makan jalan' pada laluan yang sama menghala ke Kuala Lumpur.

"Hanya apabila berada hampir dengan treler berkenaan, barulah pemandu bas itu menyedari, menyebabkannya tidak sempat menekan brek dan hanya mengelak ke kanan mengakibatkan bahagian kiri sebelah depan bas melanggar belakang kanan treler tersebut.

"Kemalangan itu menyebabkan dua penumpangnya mengalami cedera parah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Menurutnya mangsa yang cedera ialah Mohd Hanif Mahadi, 45, yang mengalami kecederaan parah di bahagian tangan kiri, manakala seorang lagi Norzilah Mohd, 62, parah di kaki kiri.

Menurut Azry, kedua-duanya yang beralamat di Kondo Rakyat Desa Pantai di ibu negara kini menjalani rawatan di Hospital Kuala Lipis.

"Mereka merupakan antara 43 anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pantai Dalam yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur menaiki bas yang disewa itu untuk rombongan ke Rantau Panjang, Kelantan sebelum ini," katanya.

Azry berkata, pemandu treler dan pemandu bas masing-masing berusia 32 dan 53 tahun serta 41 penumpang lain tidak mengalami kecederaan.

Ketika kejadian, keadaan bentuk jalan adalah lurus, dua hala dengan satu lorong dan garisan panjang berkembar pembahagi jalan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA