Trend salah laku rasuah di kalangan belia semakin menurun, menunjukkan semakin ramai rakyat sedar mengenai akibat daripada salah laku berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, walaupun tidak mempunyai statistik yang tepat, namun beliau dimaklumkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa jumlah kes bagi lima tahun sebelum ini menurun berbanding sebelumnya.

"Ini bermakna belia kita semakin terdedah dan memahami masalah dan anomaliti," katanya selepas menyaksikan penyerahan sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records kepada SPRM bagi penganjuran program "Walk Stop Talk: Six Hours Quarter Million Messages" di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Wilayah, Khalid Abd Samad dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Bagaimanapun, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, melahirkan kerisauannya terhadap jumlah pesalah laku belia yang tetap melebih separuh dari jumlah keseluruhan pesalah rasuah.

Beliau berkata, bagi tempoh 2013 sehingga Mei lepas, sebanyak 2,238 orang atau 55.2 peratus pesalah laku rasuah adalah daripada golongan belia.

"Perkara ini amat membimbangkan kerana golongan ini merupakan pemimpin negara pada masa akan datang."

Katanya, beliau turut memandang serius jenayah rasuah di kalangan wanita kerana statistik SPRM menunjukkan dari 2012 sehingga Januari lepas, sebanyak 700 kertas siasatan dibuka, 453 ditangkap bagi membantu siasatan rasuah dan 183 dihadapkan ke mahkamah untuk pertuduhan.

Tegasnya, sejarah dunia telah menunjukkan bahawa jenayah rasuah telah menyebabkan kejatuhan beberapa kerajaan yang hebat dan Malaysia juga hampir menghadapi situasi sama.

"Bagaimanapun, dengan kekuatan suara keramat, kebangkitan rakyat Malaysia (pada pilihan raya umum lalu) telah merubah landskap ini," katanya.

Dr Wan Azizah berkata kini tiba masanya untuk semua rakyat memainkan peranan bersama untuk membina semula negara, dan beliau percaya Malaysia baharu di bawah pimpinan Pakatan Harapan akan lebih membangun seiring pembangunan insaniah rakyatnya.

Program "Walk Stop Talk: Six Hours Quarter Million Messages" dianjurkan secara serentak hari ini di seluruh negara bagi menyebar luas mesej pencegahan rasuah kepada masyarakat umum.

Program anjuran SPRM dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu diadakan bagi mendapatkan suku juta atau 250,000 tandatangan masyarakat menentang jenayah rasuah untuk dijadikan penanda aras bagi mendapatkan pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records.

Seramai 1,000 peserta termasuk pegawai SPRM dan warga pendidik dari 27 kampus IPGM bergerak serentak ke 262 lokasi di seluruh negara bermula 9 pagi sehingga 3 petang untuk bersemuka dengan masyarakat dan mengedarkan 250,000 risalah yang mengandungi maklumat berkaitan anti rasuah.

Dr Wan Azizah memuji penglibatan pegawai SPRM dan pelatih IPGM dalam program pertama seumpamanya di negara ini hari ini untuk menjalankan kempen tanpa henti selama enam jam.

"Inilah penzahiran kehendak hati suara mahasiswa yang ingin mengajak rakyat Malaysia secara keseluruhannya untuk bangkit bersama menolak rasuah dan salah guna kuasa," tambahnya. -- Bernama