Tutup

TRX: 'Pelaburan baik atau tidak boleh jual balik?' - Khairuddin

TRX: 'Pelaburan baik atau tidak boleh jual balik?' - Khairuddin
KHAIRUDDIN: TRX: 'Pelaburan baik atau tidak boleh jual balik?' - Gambar fail
KUALA LUMPUR: "TRX ini pelaburan yang baik atau tidak boleh dijual semula kerana ia dibeli dengan harga yang tinggi?"

Itu soalan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan kepada beberapa Ahli Parlimen yang mencadangkan tanah milik Lembaga Tabung Haji (TH) di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) tidak dijual semula.
Tegas Khairuddin, tanah seluas 0.63 hektar itu dilihat sukar dijual semula kerana dibeli pada kadar yang amat tinggi daripada syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kena tegaskan pendiriannya kepada semua pencarum akaun TH kini sama ada mereka akan jual semula tanah TRX seperti yang dia janjikan dahulu.
"Azeez diminta tidak memutar belit fakta. Dahulu Azeez berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menasihati TH untuk menjual semula tanah tersebut berdasarkan kepada sensitiviti bantahan para pencarum.

"Malah Azeez juga membuat kenyataan secara terbuka mengatakan mereka sudah ada pembeli baru untuk mengambil-alih tanah tersebut," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: Anggota Parlimen sokong Tabung Haji tidak jual tanah TRX

Khairuddin mengulas kenyataan beberapa wakil rakyat yang menyentuh isu itu, termasuk bukan Islam yang mencadangkan TH untuk menimbang semula cadangan untuk menjual tanah berkenaan kerana disifatkan sebagai pelaburan yang menguntungkan.

BACA: Kenapa Tabung Haji beli tanah senyap-senyap? - Khairuddin

Datuk Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) berkata TH akan memperoleh keuntungan yang lebih sekiranya tidak menjual tanah berkenaan.

BACA: Pengerusi TH akui silap dalam buat penafian

Khairuddin turut melontarkan persoalan siapakah pembeli baru tanah TRX itu.

"Saya minta Azeez beritahu siapa pembeli baru tanah TRX tersebut? Berapa harga TH boleh jual pada pembeli baru tersebut?  Berapa untung TH boleh buat dari penjualan semula tanah TRX itu? 

"Berapa kos yang TH kena tanggung kerana tanah tersebut dijual semula dalam masa beberapa bulan saja? Berapa cukai penjualan semula TH kena bayar pada kerajaan kerana transaksi jual beli tersebut tak sampai setahun?" soalnya.

BACA: Keputusan TH jual semula tanah TRX tindakan tepat - Ismail Sabri

Dalam pada itu, Khairuddin turut merayu kepada semua pencarum TH agar membantah secara sekeras-kerasnya keputusan sekiranya TH tidak mahu menjual semula tanah yang dibeli secara senyap-senyap itu.

"Bila maklumat bocor kepada rakyat, Azeez  menafikan pada peringkat permulaannya dalam laman Twitter. Keesokkannya pula baru Azeez mengaku kebenarannya. Ia seudah membuktikan satu kekeliruan," jelasnya.

BACA: Pembelian itu bukan langkah untuk menyelamatkan 1MDB - Najib

Sebelum ini, Najib memberitahu, kerajaan tidak mahu kontroversi urusan pembelian sebidang tanah oleh Tabung Haji daripada 1MDB dipanjangkan.

Kata Najib, isu itu telah diputar-belitkan untuk memperlihatkan seolah-olah dalam urusan itu Tabung Haji telah menggunakan wang pendeposit untuk menyelamatkan 1MDB daripada masalah kewangan.