TAMAN Sejahtera Rakyat (TSR) Sungai Toh Pawang menjadi kampung pertama yang dipilih melaksanakan projek rintis pengurusan sisa pepejal di kawasan luar bandar.

Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dalam satu kenyataan berkata, projek berkenaan bakal menerapkan empat konsep utama.

Konsep pertama melibatkan pengasingan bahan buangan yang boleh dikitar semula kecuali botol-botol plastik ke dalam sangkar kitar semula yang telah disediakan di kawasan kampung.

Kedua, botol-botol plastik terbuang tidak akan dikitar semula, sebaliknya diproses menjadi produk kraftangan dan dijual kepada pembeli.

"Ketiga, sisa makanan tidak akan ditanam dan dibakar seperti kebiasaan, sebaliknya akan dikumpulkan di pusat pengurusan sisa pepejal dan diproses menjadi baja kompos dan baja cecair.

"Keempat, baki sisa-sisa pepejal yang tidak dapat dikitar semula dan dijadikan baja akan dimasukkan ke dalam mesin Asher yang dibeli untuk dibakar sehingga menjadi debu. Debu tersebut akan digunakan sebagai bahan campuran di dalam baja kompos," kata kenyataan itu.

Majlis Pelancaran Projek Rintis Pengurusan Sisa Pepejal Dan Perasmian TSR Sungai Toh Pawang Fasa 2 disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Majlis Pelancaran Projek Rintis Pengurusan Sisa Pepejal Dan Perasmian TSR Sungai Toh Pawang Fasa 2 disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun

Pengurusan sisa pepejal melalui penggunaan mesin Asher juga dapat membantu mengurangkan isu kawasan pembuangan sampah haram di kawasan luar bandar seperti di tepi-tepi jalan dan di kawasan semak-samun.

"Selain itu, aktiviti pembakaran sampah menggunakan mesin ini juga tidak membebaskan sebarang jenis gas atau cecair berbahaya yang berpotensi untuk mencemarkan alam sekitar dan memberi kesan yang tidak baik kepada kesihatan masyarakat setempat," jelas KEDA.

TSR Sungai Toh Pawang didiami oleh 990 orang penduduk dengan pekerjaan utama penduduk adalah bekerja sendiri, pekerja ladang dan pekerja kilang.

Pengurusan sisa pepejal dan pembentungan di kawasan luar bandar merupakan salah satu daripada strategi di bawah Teras 1 Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023.

Ia berkait rapat dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) di bawah Teras 7: Kehidupan Luar Bandar yang Sejahtera dan Teras 9: Biodiversiti dan Alam Sekitar Mampan.