Global Peace Mission (GPM) Malaysia melancarkan tabung bantuan kemanusiaan #PeduliGempaSulawesi bagi membantu mangsa bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda Palu dan Donggala, Sulawesi Tengah, Indonesia.

Dalam kenyataan dikeluarkan mereka semalam, GPM Malaysia memaklumkan bahawa pertubuhan itu sudah berhubung dengan GPM Indonesia bagi mengatur penghantaran barang-barang bantuan kemanusiaan dengan segera kepada penduduk di Kota Palu dan daerah Donggala.

Menurut Ketua Pegawai Operasi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, Syahrir Azfar Saleh, ketika dihubungi Astro AWANI dalam program 'Bualan', kumpulan pertama pasukan mereka akan berlepas ke lokasi bencana malam ini.

“Namun, pengurusan kargo ketika ini masih belum lagi dimuktamadkan, dan keperluan kargo itu agak kecil.

“Jadi tumpuan lebih kepada bantuan kewangan supaya kami boleh bawa dana tersebut untuk kita belikan sahaja bantuan segera di sana nanti,” jelas Syahrir.

Badan Nasional Penanggulan Bencana (BNPB) di Indonesia mendedahkan bahawa mereka yang terbunuh dalam bencana itu kini sudah melebihi 800 nyawa, manakala hampir 600 mengalami cedera parah.

16,732 orang kehilangan tempat tinggal dan secara keseluruhannya, sekitar 1.5 juta orang terjejas secara langsung akibat bencana alam ini.

Laporan Pusat Koordinasi Asean Untuk Bantuan Kemanusiaan (AHA Centre), jenis bantuan diperlukan adalah makanan siap saji, bekalan air bersih, kit kebersihan, keperluan sanitasi, ubat-ubatan dan khemah.

“Tabung bantuan kita buka dalam dua hingga tiga minggu, sehingga keadaan di sana semakin beransur pulih,” katanya.

Bantuan boleh disalurkan secara atas talian menerusi laman web www.billpliz.com/gempasulawesi, atau deposit/pindahan ke akaun GPM Malaysia (Maybank - 5642 2161 1602) (Bank Islam - 1402 3010 02922 4) *rujukan: tsunami.

Anda juga boleh menghubungi Syahrir di talian 013-222 6057 atau emelkan sebarang pertanyaan ke alamat [email protected] atau [email protected].