Tertarik dengan kisah kesan peninggalan tragedi tsunami di Aceh pada 2004 serta naluri ingin merasai pengalaman berpuasa di wilayah itu, membuatkan Nurul Hazwani Mohd Nashir tekad untuk mengembara sebagai 'backpacker' atau pelancong beg galas ke wilayah Indonesia itu dalam bulan Ramadan ini.

"Saya suka melancong secara backpacker dan telah lama menanam niat untuk ke Aceh selepas mendengar pelbagai cerita menakjubkan kesan peninggalan tragedi tsunami yang berlaku pada 2004.

"Jadi saya berazam mahu melihat kesemua itu dengan mata dan kepala saya sendiri," kata pekerja swasta berusia 28 tahun itu kepada Bernama.

Dia melakukan perancangan untuk melancong sambil menjalani ibadah puasa di sana dan kemudian disertai seorang rakan yang turut berminat menyertai kembara cara itu di saat akhir.

Berkongsi kisah serta pengalaman dan gambar-gambar lawatan selama empat hari tiga malamnya itu di laman Facebook, Nurul Hazwani berkata suasana Ramadan di Aceh agak berbeza berbanding Malaysia.

"Di sana, kedai menjual makanan dan minuman hanya dibuka paling awal jam 5 petang hingga masuk waktu solat Tarawih dan setelah selesai solat Tarawih barulah kedai-kedai dibuka semula hingga lewat malam," katanya.

Beliau berkata polis syariah di Aceh sentiasa melakukan rondaan untuk memastikan kedai beroperasi mengikut masa yang ditetapkan.

Ketika di sana, beliau turut tertarik dengan sajian minuman popular masyarakat Aceh iaitu air rojak yang rasanya seperti air kuah rojak yang dicairkan bersama cebisan buah-buahan yang dijual di gerai makanan berbuka puasa.

Beliau turut berpeluang melawat kesan peninggalan tsunami termasuk Masjid Rahmahtullah, Kapal PLTD Apung, Muzium Tsunami Acheh serta kawasan tarikan pelancong lain di sekitar Aceh.

Nurul Hazwani bersyukur ketika kembaranya di sana beliau berpeluang menunaikan solat Tarawih bersama jemaah di Aceh yang rata-rata begitu teguh mengamalkan ajaran Islam.

"Jemaah yang hadir begitu ramai dan hampir memenuhi ruang Masjid Raya Baiturrahman yang terletak pusat bandar Aceh," katanya sambil mengakui pengalaman di Aceh, yang terkenal sebagai Serambi Mekah cukup berbeza berbanding kembara menggalas beg di beberapa negara lain sebelum ini.