Sebuah Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIP) ditubuhkan kerajaan bagi menangani dan mengendurkan ketegangan berkaitan isu sensitif dan perkauman di peringkat nasional.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Mohamed Hanipa Maidin berkata jawatankuasa itu berfungsi sebagai forum rasmi bagi mengenal pasti isu dan polemik yang boleh menggugat perpaduan dan keharmonian masyarakat.
“Meningkatkan sinergi agensi yang terlibat dalam menangani isu perpaduan secara bersepadu.
“JPIP dianggotai oleh pelbagai kementerian dan agensi, antaranya Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) berkenaan usaha kerajaan menangani isu-isu sensitif perkauman dan keagamaan yang kian meluas pada masa kini.
Jawatankuasa itu adalah hasil usaha Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara.