Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengalu-alukan keputusan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang berlaku lebih 20 tahun lalu.

Namun Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menuntut agar RCI juga ditubuhkan untuk menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Wan Azizah berkata gesaannya itu dibuat kerana langkah menubuhkan sebuah RCI adalah selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik dan akauntabiliti awam terhadap kehilangan berbilion-bilion ringgit.

"Penubuhan RCI mengenai 1MDB adalah satu langkah penting untuk membuktikan bahawa RCI skandal forex bukan tindakan politik terpilih atau cubaan terdesak kerajaan untuk mengalihkan perhatian dari dakwaan terbaru Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan 1MDB," katanya, pada sidang akhbar di ibu pejabat parti di Petaling Jaya, hari ini.

"Kita tidak seharusnya menunggu 23 tahun untuk merungkai dakwaan penyelewengan 1MDB," katanya lagi.

Pemfailan terbaharu Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat baru-baru ini mendakwa dana 1MDB yang diselewengkan telah mencecah hampir AS$4.47 bilion (RM19.15 bilion).