Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini sedang dalam proses merangka pelan jangka masa panjang yang dinamakan Capability Development 55 (CAP 55), menurut Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang hari ini.

Pelan untuk jangka masa 35 tahun itu bertujuan memperkasakan keupayaan berkhidmat seperti yang termaktub dalam Dimensi Keempat Angkatan Tentera Malaysia (4DMAF), yang lebih fokus kepada pembangunan keupayaan.

“Ia bagi memastikan TUDM kekal progresif untuk 35 tahun lagi, iaitu hingga tahun 2055, dari aspek pemodenan aset dan pembangunan modal insan buat negara.

“Pelan itu akan juga diimbangkan antara keperluan operasi dan perbelanjaan pertahanan, memandangkan isu kewangan pada masa ini.

“Ia juga untuk memastikan pelaksanaan operasi yang sinergetik di antara ketiga-tiga badan ketenteraan iaitu udara, laut dan darat,” katanya semasa menyampaikan perutusan sempena sambutan Ulang Tahun Ke-60 TUDM di Pangkalan Subang dekat sini hari ini.

Persembahan oleh warga TUDM sempena sambutan Ulang Tahun ke-60 TUDM di Pangkalan Subang hari ini. Astro AWANI / Siti Nursyazwani

Sempena ulang tahun ke-60 ini, TUDM masih lagi mengekalkan tema “Kuasa Udara, Tonggak Keselamatan Negara” yang melambangkan komitmen angkatan tentera itu untuk terus melindungi negara.

Affendi berkata, TUDM juga akan melakukan ‘roadshow’ di seluruh negara yang dijangka akan bermula di Kuching pada Ogos ini.