Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (AU-TNI) akan menubuhkan pasukan bersama bagi menyiasat punca nahas melibatkan dua pesawat aerobatik pasukan Jupiter, di sini hari ini.

Menurut penganjur Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2015 (LIMA'15), dua pesawat pasukan Indonesia itu bergesel sayap ketika melakukan latihan untuk mengadakan pertunjukan sempena pameran itu.

Katanya dua daripada enam pesawat KT - 1B Wong Bee pasukan berkenaan terlibat dalam nahas itu dan musnah sama sekali.

"Kesemua empat juruterbang berjaya melentingkan diri dan kini diletakkan di bawah pemerhatian di Hospital Daerah Langkawi," katanya dalam kenyataan di sini.

Penganjur LIMA'15 juga berkata pasukan mencari dan menyelamat (SAR) diketuai TUDM melancarkan gerakan beberapa minit selepas kejadian dan berjaya menjumpai juruterbang terbabit di satu kawasan di Kendawang, kira-kira 11.3km dari Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC).

Bagaimanapun, katanya, sebuah rumah dan sebuah kereta terbakar akibat terkena serpihan pesawat berkenaan, tetapi pemilik rumah berkenaan, Zulkeflee Abu Mutalib terselamat kerana tidak berada di rumah ketika kejadian.