Parti Keadilan Rakyat mahu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menarik balik kenyataan beliau yang menuduh orang nombor dua dalam PAS sebagai pengikut ajaran Syiah yang sesat dan diharamkan di negara ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata kenyataan itu amat tidak produktif, berbahaya ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO cuba "menghulurkan tangan terbuka kepada parti-parti Pakatan Rakyat untuk mengadakan dialog nasional untuk rekonsiliasi."

Beliau menyifatkan kenyataan Zahid itu "bagai menghulurkan penumbuk kepada PAS khususnya dan Pakatan Rakyat amnya."

"Kenyataan Ahmad Zahid amat tidak produktif, berbahaya, dan bagai cuba menggagalkan rekonsiliasi yang diusahakan Datuk Seri Najib," katanya dalam satu kenyataan kepada media.

PKR juga berpendapat kenyataan Zahid itu seperti sudah "menjatuhkan hukuman tanpa perbicaraan bebas dan adil dahulu" ke atas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Mohamad dalam reaksinya menafikan beliau menganut ajaran Syiah sebaliknya menegaskan beliau adalah pengikut Ahli Sunnah Wal Jama'ah.

Najib dalam ucapannya dasarnya membuka Perhimpunan Agung UMNO pada Khamis berkata UMNO "tidak akan pernah jemu untuk menghulurkan salam perpaduan dengan mana-mana parti politik demi melihat umat Islam kembali bersatu".

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Umum PKR dalam reaksinya kepada ucapan itu mengulangi kesediaan serta bersikap terbuka untuk mengadakan perbincangan ke arah kepentingan bangsa dan politik baharu dengan Barisan Nasional.