Berbaki tiga minggu sebelum hari pengundian pilihan raya umum ke-14 (PRU14), musim 'demam' itu seolah-olah membuka pintu rezeki pengusaha tudung Chenta Watie Scarf, apabila jualan 'tudung PRU' keluarannya laris dijual bak goreng pisang panas.

Pengarahnya Irdawati Samsudin, 38 tahun, berkata jualan tudung edisi khas bercorak logo lapan parti politik di Malaysia itu mula dilancarkan menerusi laman Instagram butik tersebut sejak Mac lepas dan sudah menerima 1,000 tempahan walaupun baharu seminggu diperkenalkan.

Antara corak logo parti yang ada termasuklah Barisan Nasional (BN), UMNO, Parti Keadilan Rakyat, PAS dan Parti Amanah Negara.

"Pada awalnya, saya hanya menyasarkan jualan tudung PRU ini antara 2,000 hingga 3,000 sahaja, namun tidak sangka setakat ini sudah terjual hampir 7,000 helai.

"Walaupun kami bercadang untuk tutup tempahan, melihatkan permintaan luar biasa pelanggan dari seluruh Malaysia, kami ambil keputusan untuk terus mengambil tempahan yang hingga kini tidak putus-putus," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Perniagaan yang diusahakan bersama suami di Simpang Renggam, Johor sejak 2013 itu pada mulanya menjual pelbagai jenis tudung, namun pasangan ini mengambil langkah berbeza dengan mengeluarkan tudung edisi khas Hari Kebangsaan pada tahun lepas.

"Selepas tudung itu mendapat sambutan begitu menggalakkan, membuatkan kami terfikir untuk mengeluarkan tudung edisi khas bersempena hari-hari tertentu di Malaysia seperti Hari Guru dan Hari Ibu," katanya.

Bagaimanapun Irdawati berkata pada mulanya beliau turut diselubungi rasa ragu mengeluarkan tudung bercorak logo parti yang baginya, boleh mengundang persepsi negatif masyarakat.

"Memandangkan kami sudah ada mesin cetak khas untuk tudung sendiri di kilang dan PRU14 juga makin hampir, jadi kenapa tidak kami ambil peluang ini untuk cuba sesuatu yang baharu.

"Alhamdulillah, setakat ini kami banyak menerima maklum balas positif daripada pelanggan tentang kualiti tudung kami berbanding kritikan negatif. Inilah yang membuatkan kami lebih bersemangat untuk meneruskan jualan tudung seperti ini," katanya.

Beliau berkata kebanyakan pelanggan menyukai tudung bawal jualannya itu yang terdiri daripada kain jenis satin dan crepe serta dijual pada harga antara RM25 hingga RM59.

"Apa yang menjadi keistimewaan kami adalah pelanggan boleh mengubah suai corak tudung mengikut citarasa masing-masing dan setakat ini, tudung PRU yang paling laris terjual adalah corak BN," katanya.

-- BERNAMA