Tutup

Tugas jaga perpaduan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata

Tugas jaga perpaduan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata
WAYTHA: Malaysia merupakan sebuah negara berbilang bangsa, budaya, agama, bahasa dan adat resam yang masing-masing diwarisi sejak turun-temurun. - Gambar fail/BERNAMA
TAPAH: Tugas menjaga perpaduan bukanlah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan semata-mata, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy.

Beliau berkata pada hakikatnya keakraban di peringkat akar umbi juga harus dibaja dan diperkukuhkan demi memelihara perpaduan nasional serta mengutamakan kesejahteraan rakyat bagi menjamin kestabilan negara.

"Malaysia merupakan sebuah negara berbilang bangsa, budaya, agama, bahasa dan adat resam yang masing-masing diwarisi sejak turun-temurun.

"Kepelbagaian ini merupakan satu keunikan yang sepatutnya dirai dan menjadi kebanggaan bersama. Kita harus buktikan kemajmukan inilah yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang sering dicontohi oleh masyarakat antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat yang turut dihadiri Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri A.Sivanesan di Arena Tapah di sini, malam ini.

Waytha Moorthy berkata kerajaan hari ini sentiasa komited untuk memperjuangkan permasalahan rakyat akar umbi kerana menyedari asas yang kukuh dapat menjamin pembangunan negara yang lebih mampan dan konsisten.
"Sebagai contoh, suka saya menyatakan bahawa sejak memegang jawatan di Jabatan Perdana Menteri bagi portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial, mekanisme pelaksanaan dasar kerajaan yang lebih telus telah diperkenalkan bagi kesemua agensi di bawah tanggungjawab saya.

"Misalnya, penglibatan akar umbi dalam perancangan dan pelaksanaan dasar seperti di JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli) telah berjaya dipertingkatkan melalui penglibatan secara terus masyarakat Orang Asli," katanya.

Menurutnya kerajaan juga telah berjaya merancang serta melaksanakan dasar-dasar yang menumpukan kepada penyelesaian masalah serta pembinaan asas bagi memastikan penglibatan rakyat terutama untuk mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

-- BERNAMA


Tag: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy, berbilang bangsa, Perpaduan Negara, JAKOA



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.