Enam anggota bomba cedera ketika cuba memadamkan kebakaran kilang di Jalan Perigi Nanas 8/13, Pulau Indah, Pelabuhan Klang, pada Jumaat.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor kejadian berlaku pada 5.37 petang dan api berjaya dikawal pada tujuh jam selepas itu.

"Sampai ditempat kejadian didapati kebakaran melibatkan tiga buah kilang berkeluasan keseluruhan 60 ribu kaki persegi.

"Sebuah kilang terbakar 100 peratus manakala dua buah lagi masing-masing 50 peratus. Kebakaran dapat dikawal daripada merebak pada 12.40 pagi, Sabtu," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Seramai 60 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja, Pelabuhan Klang, Sungai Pinang, Andalas dan Kota Anggerik terlibat dalam usaha memadamkan kebakaran itu.

Agensi terlibat menyalurkan bantuan adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Kenyataan itu turut menyatakan enam anggota yang cedera telah dibawa ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

"Seorang daripada anggota ditahan di hospital, manakala selebihnya pesakit luar," jelasnya.