infogfx

Tujuh kawasan titik panas telah dikesan di Selangor yang dipercayai menyumbang kepada punca jerebu teruk di sekitar Lembah Klang.

Beberapa kawasan pembakaran hutan telah dikenal pasti dengan antara kawasan yang terjejas teruk di Sungai Tinggi Hulu Selangor dengan keluasan kebakaran sebanyak 380 hektar.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan jabatan alam sekitar Selangor kebakaran turut dikesan di kilometer 21.5 di lebuh raya Kesas dengan keluasan meliputi 2 hektar.

Kawasan terbakar lain termasuk di Sungai Besar dan di kilometer 24.8 lebuh raya Kesas menghala ke Pulau Kempas serta Kuala Langat.

Sehingga 6 petang Khamis, pihak bomba Selangor dan bersama sedang bergiat memadamkan api hasil dari pembakaran terbuka.

Di Selangor, Pelabuhan Klang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) paling berbahaya dengan bacaan 325.

Sementara itu, Exco Alam Sekitar Negeri Selangor Elizabeth Wong memaklumkan Kerajaan Negeri akan mengedarkan 180,000 topeng muka kepada rakyat Selangor mulai Jumaat.

Ia boleh didapati di setiap kawasan DUN Selangor.

Elizabeth Wong berkata, Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS) telah membuka 12 kertas siasatan terhadap pemilik-pemilik tanah persendirian yang melakukan pembakaran terbuka.

Menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, individu yang ditangkap membuat pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 500, 000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.