Tutup

Tujuh kedai sederet di Jubilee Park musnah dalam kebakaran

Tujuh kedai sederet di Jubilee Park musnah dalam kebakaran
Kebakaran melibatkan tujuh buah rumah kedai kelas B berkeluasan 20 x 70 yang terbakar di bahagian atas 50 peratus. - Foto media sosial
IPOH: Tujuh buah rumah kedai sederet berhampiran Hotel New Caspian, Taman Jubilee, di sini, musnah dalam kebakaran malam ini.

Tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan empat buah lagi rumah kedai yang sederet dengan unit yang terbakar.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yunus Abu, pihaknya menerima panggilan telefon mengenai kebakaran itu pada jam 8.02 malam.

“Kebakaran melibatkan tujuh buah rumah kedai kelas B berkeluasan 20 x 70 yang terbakar di bahagian atas 50 peratus dan empat buah rumah kedai yang lain dapat diselamatkan,” katanya.
Bagaimanapun, kebakaran tidak melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Seramai 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, BBP Pasir Puteh dan pasukan bomba sukarela (PBS) Pekan Baru, Bercham dan Pasir Pinji terlibat dalam operasi pemadaman.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.