Sarawak pada Jumaat merekodkan tujuh lagi kes positif COVID-19 sekaligus menjadikan 58 kes keseluruhan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memaklumkan kesemua kes baharu ini dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).

"Kesemua mereka dari Kuching iaitu empat dari kluster Ijtimak, dua dari kluster gereja dan satu kes masih dalam siasatan.

"Makmal HUS kini bertungkus lumus bagi menyelesaikan kesemua ujian makmal yang tertunggak sebelum ini," katanya dalam sidang media khas di sini pada Jumaat.

Kenyataan akhbar JPBN Sarawak bagi memaklumkan perkembangan terkini kes COVID-19 di negeri itu.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sebelum itu mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkaitan COVID-19.

Tambahnya Sarawak setakat ini mempunyai 714 jumlah keseluruhan Orang Yang Disyaki (PUI).

Dalam perkembangan berkaitan jawatankuasa juga telah mengambil keputusan bahawa semua pengusaha kedai makanan segera termasuk perkhidmatan pandu lalu akan dihentikan sehingga jam 8 malam berkuatkuasa 21 Mac 2020.

Arahan termasuk semua rangkaian pasar raya. Bagaimanapun, semua kedai serbaneka akan beroperasi seperti biasa.