Tujuh pekerja mendakwa telah menjadi mangsa skim penipuan oleh sebuah syarikat palsu, sehingga mengalami kerugian lebih RM5,000.

Ia melibatkan empat orang pekerja asing dan tiga rakyat Malaysia, berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Menurut salah seorang mangsa yang berasal dari Kajang dan tidak mahu mendedahkan namanya, dia telah diambil untuk bekerja sebagai Pengurus Sumber Manusia bagi syarikat itu.

"Saya mula menyertai syarikat ini, dua hari lepas. Saya ditemuduga menerusi Skype oleh seorang wanita, yang bernama Puan Nora.

"Apa yang membuat saya sangat tertarik untuk bekerja adalah bukan kerana gaji yang tinggi, tetapi pendekatan agama Islam yang dia kongsikan.

"Kata Puan Nora, dia selalu melakukan solat Tahajud, dan dia tidak suka sembahyang lambat dan dia galakkan pekerja untuk balik tepat pada masa dan meluangkan masa untuk beribadat pada waktu malam," katanya kepada Astro AWANI selepas membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, hari ini.

Menurut seorang lagi mangsa, KM Tanvir Islam yang berasal dari Bangladesh, telah diambil bekerja sebagai pembantu sejak 24 November lalu.

KM yang juga seorang pelajar Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di sebuah kolej di Cyberjaya berkata dia telah ditawarkan untuk bekerja dan menerima permit kerja secara sah oleh Puan Nora.

"Apabila saya menerima pekerjaan itu, Puan Nora telah meminta saya membayar RM750 termasuk 6% cukai GST sebagai bayaran pendahuluan untuk permohonan visa.

"Kemudian saya diberitahu permohonan visa saya lulus dan dia minta saya lagi untuk bayar RM2,800," kata KM.

Difahamkan, semua mangsa membuat permohonan pekerjaan masing-masing menerusi laman web mencari pekerjaan dan tidak pernah bertemu dengan Puan Nora.

Warga tempatan yang menerima pekerjaan itu juga telah diminta Puan Nora untuk membuat bayaran RM200 bagi akses bangunan pejabat di Menara Binjai, di sini.

Kesemua pekerja terbabit menyedari telah menjadi mangsa skim penipuan apabila seorang wakil syarikat sewa ruang pejabat, Regus Workspaces memaklumkan bahawa mereka perlu meninggalkan dan mengosongkan ruang pejabat tersebut.

Ketika dihubungi Astro AWANI, wakil syarikat itu berkata individu yang sama, iaitu Puan Nora pernah menyewa ruang pejabat di syarikatnya sebelum ini namun tidak pernah melakukan sebarang bayaran di premis pejabat yang digunakan.

Astro Awani juga telah cuba menghubungi Nora, dan seorang lagi suspek Farah Wahab untuk mendapatkan pengesahan, namun gagal mendapat sambungan.