Tujuh anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana dipercayai meminta dan menerima suapan berjumlah RM1,000 daripada seorang pengusaha kafe siber tanpa lesen di Klang.

Menurut sumber SPRM, kesemua lelaki terbabit yang berusia 31 hingga 42 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Klang pada 1.45 tengah hari tadi.

Sumber itu berkata seorang daripada suspek bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas dirakam percakapanya hari ini.

Menurut sumber itu, pada 21 Okt tahun lalu, anggota penguat kuasa MPK membuat pemeriksaan lesen terhadap kafe siber terbabit dan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen hiburan.

"Bagaimanapun, penguat kuasa MPK terbabit telah meminta dan mengambil wang sebanyak RM1,000 daripada pengusaha kafe siber itu supaya tiada sebarang tindakan undang-undang dikenakan terhadap premis tersebut," kata sumber itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata pihaknya kini dalam proses merakam percakapan kesemua suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata kesemua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Klang esok untuk proses permohonan perintah reman.

-- BERNAMA