Tujuh pusat tahfiz di sekitar Kuala Lumpur yang dikenal pasti terlibat dalam perhimpunan Tabligh di Sri Petaling pada 28 Februari lalu diminta tampil menjalani saringan kesihatan dengan kadar segera.

"Ada beberapa pusat tahfiz tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), dimana sebahagian daripada mereka menghadiri perhimpunan tabligh dan mereka belum datang membuat saringan dan kita menyeru kepada mereka tampil sukarela.

"Kita ada maklumat, kita tahu ada tujuh pusat tahfiz tidak berdaftar, mereka menghadiri jemaah tabligh. Ada beberapa pusat pengajian agama diketahui ada terkait dengan aktiviti membimbangkan pihak kesihatan, kalau mereka tidak tampil sukarela, kita akan cari jalan," katanya dalam sidang media di Menara Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada Jumaat.

Tambah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan itu, maklumat diperolehi mendapati pusat tahfiz berkenaan turut melibatkan pelarian pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNCHR).

Bagaimanapun pihaknya tidak akan mengambil langkah menghukum sebaliknya terlebih dahulu memohon agar kesemua penuntut di pusat tahfiz itu memberi kerjasama demi memastikan tiada penularan COVID-19 berlaku.