Polis menahan tujuh remaja lelaki yang sedang berlumba basikal lajak di Jalan Taman Pasir Belanda, Teluk Kumbar dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A. Anbalagan berkata kesemua remaja berusia antara 13 hingga 14 tahun itu ditahan anggota polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan pada pukul 6.30 petang.

"Polis mengambil tindakan segera dengan menahan tujuh pelajar tingkatan satu dan dua sekolah menengah itu dan memanggil ibu bapa mereka untuk disaman. Kesemua mereka dibebaskan selepas itu," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata polis juga memaklumkan penahanan mereka kepada pejabat Pendidikan Daerah untuk tindakan pihak sekolah.

Berdasarkan siasatan remaja berkenaan dipercayai menghabiskan sehingga RM500 untuk mengubah suai basikal lajak mereka.

-- BERNAMA