Sekumpulan penjenayah yang melakukan aktiviti ala Robin Hood dengan menyamun tokan-tokan dadah sejak tahun lepas akhirnya tumpas diberkas polis pada 26 Januari lepas.

Kumpulan yang dikenali sebagai Geng Amir Batu 16 yang aktif melakukan rompakan di sekitar Taiping itu turut dianggotai oleh dua bekas askar yang telah ditamatkan perkhidmatan.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Taib berkata, kejayaan menahan tujuh anggota Geng Amir itu adalah susulan daripada penangkapan seorang anggota kumpulan yang juga merupakan orang kanan kepada suspek utama atau ketua kumpulan.

“Lelaki berkenaan yang ditahan di sebuah warung kemudiannya disoal siasat. Berpandukan arah beliau, polis telah menangkap seorang lagi lelaki, iaitu rakan sejenayah suspek utama, di Taman Mewah Kamunting, pada hari sama.

“Serbuan di rumah berkenaan turut merampas beberapa barangan yang digunakan untuk merompak. Suspek pertama kemudian membawa polis ke sebuah bengkel kereta di Assam Kumbang dan menemukan sebuah kenderaan Proton Wira Aeroback yang digunakan untuk merompak.

“Pada 8.30 malam, hari yang sama, polis telah pergi ke pasar malam Taman Lela Kamunting dan berjaya menangkap suspek utama kumpulan ini,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping, dekat sini hari ini.

Menurut Mohamad, siasatan lanjut ke atas tiga suspek tersebut membawa kepada penangkapan empat lagi rakan sejenayah Geng Amir Batu 16 itu.

Katanya, hasil penangkapan ketujuh-tujuh suspek ini, polis berjaya menyelesaikan lapan kes jenayah melibatkan rompakan, khianat dan curi motosikal di sekitar Taiping dan Kamunting.

Jelasnya, antara yang dirampas adalah kereta Proton Wira Aeroback, motosikal jenis Yamaha dan Honda Ex5 yang dilaporkan hilang, pedang, telefon bimbit dan topi keledar.

“Modus operandi Geng Amir Batu 16 ini ialah dengan meletakkan tokan-tokan dadah sebagai sasaran utama. Maknanya, kegiatan jenayah mereka ini ada kaitan dengan dadah.

“Kesemua suspek berumur dalam lingkungan 20-30 tahun dan berasal dari Perak. Saringan ujian air kencing juga mendapati kesemua mereka positif dadah jenis Methampetamine,” katanya lagi.

Mohamad berkata, kumpulan itu juga terlibat aktif dengan pengedaran dadah.

Tambahnya, semua suspek telah direman selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan berhubung beberapa laporan yang bersangkut.

“Ekoran daripada tertangkapnya kumpulan Amir 16 ini, pihak polis telah berjaya menumpaskan sindiket mereka dan secara tidak langsung berjaya melumpuhkan kumpulan ini daripada merekrut ahli baru yang kebanyakannya secara positif terlibat dadah,” katanya lagi.