Tujuh lelaki warga Indonesia ditahan Pihak Berkuasa Malaysia di Perairan Tanjung Bidara, Melaka malam tadi, setelah bot yang mereka naiki dikesan berada dalam keadaan mencurigakan.

Sewaktu pemeriksaan, pihak berkuasa menemui 12 juta batang rokok putih jenama Canyon dan U2, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM1.86 juta.

Timbalan Pengarah Operasi DM5, Komander Maritim Azman Samsudin berkata, pihaknya menghantar bot laju DM5 untuk memeriksa bot berkenaan pada kedudukan 6.2 batu nautika dari pantai Tanjung Bidara.

Beliau berkata dalam operasi berkenaan, pihaknya menahan seorang tekong berusia 50 tahun dan enam awak-awak berusia antara 22 hingga 36 tahun.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot menemui seorang tekong dan awak-awak seramai tujuh orang.

"Mereka didapati membawa muatan sejumlah besar rokok putih pelbagai jenama dibawa ke Malaysia secara tidak sah," ujar beliau.

Tambahnya kesemua mereka ditahan dan dibawa ke jeti APMM Linggi pada 3.55 pagi.

Bot berkenaan turut dikesan melakukan pelbagai kesalahan iaitu gagal melapor ketibaan, kapal dalam keadaan bergelap dan memasuki perairan negara secara tidak sah.

Kesemua suspek turut melakukan kesalahan nombor dokumen perjalanan tidak sama dengan senarai awak-awak selain beberapa kesalahan di bawah Akta Kastam 1967.

Kesemua suspek dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman.