Seorang warga emas maut dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan di Pesiaran Tujuan, Subang Jaya, pada Khamis.

Kejadian berlaku pada 6.15 pagi ketika wanita berusia 60 tahun itu yang juga tukang cuci di Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 4 dalam perjalanan tempat kerjanya itu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata mangsa bersama seorang lagi rakannya sedang dalam perjalanan untuk ke tempat kerja mereka.

“Mereka melintas jalan sebelum mangsa dirempuh sebuah kereta manakala rakannya pula berjaya lari menyelamatkan diri.

“Akibat daripada rempuhan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala dan patah pergelangan kaki kanan. Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Muhammad Azlin berkata orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kenderaan serta pemandu terlibat diminta tampil untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.