Seorang tukang kayu maut akibat terjatuh ketika membaiki atap kilang pemprosesan makanan di Mambang Di Awan pada petang Sabtu.

Dalam kejadian sekitar 11 pagi itu, mangsa, Ho Hooi Tong, 55, sedang membaiki atap di bahagian setor gudang terjatuh dari ketinggian 6 meter dan maut beberapa jam kemudian.

Ketua Polis Daerah Kampar, Deputi Superitendan Ng Kong Soon berkata kejadian berlaku sewaktu mangsa dan seorang lagi rakannya sedang naik ke bumbung kilang berkenaan.

"Mereka menggunakan tangga untuk naik setinggi 20 kaki untuk memulakan kerja sekitar 10 pagi dan selang sejam kemudian rakannya terdengar bunyi atap pecah.

"Ketika dia menoleh ke arah mangsa yang berada sekitar dua meter darinya, didapati terdapat lubang di atap dan mangsa sudah tiada di situ,"katanya kepada Astro AWANI pada petang Ahad.

Jelasnya,rakannya meninjau ke bawah dan mendapati mangsa terlentang atas lantai dalam keadaan sedar dan cuba untuk bangun tetapi gagal.

Katanya, beberapa rakan lain datang menenangkan mangsa yang pada masa itu masih sedar tetapi tidak boleh bercakap.

"Mangsa yang dihantar ke Hospital Kampar kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital berikutan kecederaan parah di bahagian kepala," katanya lagi.