Terkejut dan cuba melarikan diri. Itu tindakan segelintir warga asing selepas menyedari kehadiran Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Ops Mega 3.0 di sekitar Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, dalam operasi kira-kira jam 2.30 petang itu, seramai 385 warga asing telah diperiksa.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 139 orang berusia lingkungan 20 hingga 60-an dikesan merupakan pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Pemeriksaan mendapati Pati ini dikesan menyalahgunakan pas lawatan sosial, tidak memiliki pasport dan sebagainya.

"Malah, ada antara mereka dipercayai datang ke negera sebagai pelajar, pembantu rumah dan pelancong. Namun, melanggar peraturan imigresen untuk bekerja sebagai tukang urut, pekerja restoran dan sebagainya," katanya kepada pemberita, selepas Ops Mega 3.0, di sini tadi.

Beliau berkata, semakan juga mendapati Pati yang ditahan membabitkan warga Indonesia, Pakistan, Myanmar, Bangladesh dan Filipina.

Katanya, kesemua yang ditahan ini telah dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil.

Selain itu, operasi yang tamat kira-kira jam 5 petang tadi, JIM turut mengesan terdapat warga asing yang menyewa premis daripada warga tempatan.

"Kita telah ambil tindakan dalam isu-isu sebegini dan perkara ini telah ditekankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini. Tindakan mengikut kesalahan imigresen akan diserahkan kepada kita, tetapi rantaian kesalahan lain akan dilaksanakan oleh agensi penguatkuasa lain," katanya.

Pada masa sama, Mustafar memberitahu, sejak 1 Januari lalu, hingga semalam, sebanyak 8,217 operasi telah dilaksanakan di seluruh negara dengan tangkapan seramai 24,463 Pati.

"Berdasarkan statistik, tangkapan warga Indonesia paling ramai iaitu seramai 17,918 orang, Bangladesh (9,192 orang), Filipina (4,316 orang), Myanmar (4,187 orang) dan selebihnya lain-lain negara. Sepanjang tempoh itu juga, 635 majikan tempatan telah ditahan dengan seramai 116 daripadanya telah didakwa," katanya.