GEORGE TOWN: Rakaman video seorang lelaki memberi minuman tin dipercayai arak kepada seorang bayi tular di media sosial hari ini sehingga menimbulkan kemarahan banyak pihak.

Video berdurasi 30 saat itu menunjukkan seorang lelaki memangku bayi berkenaan dan memberinya minuman keras itu dari tin yang tertera jenama arak tersebut.

Insiden itu didakwa berlaku di sebuah flat di Teluk Bahang, Balik Pulau, Pulau Pinang.



Rakaman lelaki beri bayi minum arak tular

Sementara itu, Ketua Pergerakan Anti Arak Murah Malaysia, David Marshel berkata, pihaknya telah membuat satu laporan polis di Perai selepas melihat kiriman video tersebut.

Menurutnya, laporan dibuat agar pihak polis menjalankan siasatan terhadap pelaku dan mengambil tindakan yang sewajarnya di bawah peruntukan undang-undang.

"Perbuatan terkutuk ini harus dihentikan dan bayi tersebut juga perlu dijauhkan daripada lelaki yang tidak bertanggungjawab itu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam masa sama, pihaknya turut meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengambil tindakan segera bagi melakukan pemeriksaan dan membuat ujian darah terhadap bayi itu untuk memastikan dia tidak terdedah dengan kandungan alkohol.