Kerajaan Negeri Sabah tidak campur tangan dalam sebarang usaha untuk menjejaki bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang dilaporkan 'hilang'.

Tegas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, apa yang lebih penting, kerajaan negeri komited terhadap isu-isu pentadbiran negeri.

Malah menurutnya, usaha menjejaki Musa itu diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa kerana agensi yang dipertanggungjawabkan mempunyai kuasa dan kouta mencukupi untuk mengambil tindakan susulan.

Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan negeri akan membantu sekiranya pihak berkuasa memerlukan bantuan seperti dokumen berkaitan siasatan kes itu.

"Kita serahkan dengan pihak berkuasa. Kita tidak ada kepakaran untuk mengesan mana-mana individu kerana kita pun banyak kerja di peringkat negeri.

"Saya yakin pihak yang berkuasa mempunyai bidang kuasa dan kouta yang mencukupi untuk mengambil tindakan susulan berkaitan perkara ini. Jadi kita tidak terbabit dalam perkara ini," katanya.

Mohd Shafie berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet negeri di Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di Kota Kinabalu, hari ini.

Hadir sama adalah Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Madius Tangau dan Christina Liew.

Terdahulu, kehilangan Musa masih berlarutan sehingga hari ini apabila tiada sebarang maklumat sahih mengenai kedudukan sebenar Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu.

Beliau dilaporkan tidak berada di negeri ini sejak berlepas ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 14 Mei lalu untuk menemui dan menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Musa kini berhadapan dengan kes yang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melibatkan ugutan jenayah namun, tidak ada waran yang dikeluarkan berhubung ugutan jenayah terhadap Tuan Yang Terutama Negeri, Tun Juhar Mahiruddin baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau juga dikehendaki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes rasuah.