Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Tun Jeanne Abdullah, mengundi di Sekolah Kebangsaan Permatang Bertam hari ini.

Mereka tiba di pusat mengundi kira kira jam 8.30 pagi, diiringi calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Selesai mengundi pada jam 8.43 pagi, Abdullah yang juga bekas ahli parlimen Kepala Batas kemudiannya mengambil kesempatan bertemu dan bersalaman dengan pengundi sebelum meninggalkan pusat mengundi.

Sementara itu, Reezal bersama isteri, Datin Seri Ismalina Ismail, dan anak perempuannya, Awliyatul Imani, 22 tahun, mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Pei Yu, Kepala Batas.

Reezal Merican, isteri dan anak, selesai membuang undi di pusat mengundi SJKC Pei Yu, Kepala Batas, Pulau Pinang. Astro AWANI

Ketika ditemui, Reezal berkata beliau menjangkakan peratusan keluar mengundi pada kali ini melebihi 80 peratus berdasarkan jumlah keluar mengundi yang ramai pada sebelah pagi.

“Dengan petunjuk awal ini, saya yakin peratusan keluar mengundi kali ini berada pada paras yang agak tinggi juga, cuma mungkin tidak setinggi 2013 iaitu 91%, antara yang tertinggi di Malaysia waktu itu.

"Saya menjangkakan sekitar 80% boleh dicapai. Ini akan menyaksikan bahawa proses demokrasi berjalan dengan amat baik dan segar di bumi Kepala Batas ini,” katanya selepas selesai membuang undi di sini hari ini.

Cuaca yang baik di Kepala Batas membolehkan orang ramai keluar mengundi lebih awal, malah ada di antaranya mula beratur seawal jam 7.30 pagi.

Pada pilihan raya umum ke-14 ({RU14) ini, Reezal akan mempertahankan kerusi yang disandangnya sebelum iniakan berdepan Dr Zaidi Zakaria dari PKR dan Siti Mastura Muhammad (Pas).