Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin diingatkan tidak melupakan rentetan kegagalan semasa zamannya yang membawa kepada beberapa isu besar kepada pemerintahan negara.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata, ia sekali gus menjadi pengajaran terutama kepada anak-anak muda untuk memastikan ia tidak berulang.

"Saya terbaca apa yang diperkatakan oleh Tun Daim berhubung pandangan beliau tentang hari ini. Saya juga ingin memberitahu bahawa sekarang adalah lebih baik berbanding zaman beliau mengetuai UMNO Bahagian Merbok.

"Tempoh ketika beliau di dalam kerajaan merupakan keadaan yang sangat teruk sehingga ada yang masih terkesan sehingga ke hari ini.

"Keadaannya sungguh teruk sehingga pemimpin zaman ini perlu perbaiki. Ianya satu tempoh masa yang kami anak-anak muda tidak mahu lalui semula," katanya kepada Astro AWANI di sini, hari ini.

Bastien mengulas kenyataan Tun Daim yang menyatakan sistem persekolahan yang goyang, rasuah dan ketidaksamaan adalah antara perkara yang mengancam negara.

Bekas menteri Kabinet itu juga menggesa peserta pertemuan tertutup iaitu sekumpulan anak muda dan beberapa tokoh berpengaruh dalam Pakatan Harapan (PH) untuk mempertahankan prinsip-prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan dan membaik pulih sistem keadilan negara.

Dalam pada itu Bastien turut berkongsi dua contoh ketara dengan generasi kini iaitu pertama - kebebasan media dan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Isu kebebasan media ini telah dirombak oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

"Kedua, pemansuhan ISA yang dibuat oleh Datuk Seri Najib. Kedua-dua perkara ini hanya dibuat selepas zaman Tun Daim.

"Perubahan lanskap ini dinikmati oleh generasi saya dan generasi masa hadapan. Ianya cukup dihargai," ujarnya.

Tegasnya, ketika zaman Tun Daim juga fundamental Perlembagaan negara ini diroboh sedikit demi sedikit.

"Pemisahan tiga tiang asas Perlembagaan iaitu perundangan, Parlimen dan eksekutif telah dipudarkan dengan pemusatan kuasa kepada eksekutif yang berleluasa.

"Ini tidak mampu dibendung oleh Tun Daim sendiri, malah beliau juga menjadi sebahagian daripada aksesori kepada kemusnahan tersebut.

"Lebih teruk lagi ketika zaman beliau juga, sistem beraja kita di sentuh sehingga mewujudkan jurang antara Melayu dan Raja-raja," katanya.

Jelasnya lagi, orang-orang muda di dalam UMNO menyanjung tinggi Perlembagaan dan tidak mahu mengulangi kesilapan pemimpin-pemimpin terdahulu yang sering tidak menghormati Perlembagaan.

"Kami tahu Perlembagaan yang menjadi ibu kepada seluruh perundangan dan penubuhan Malaysia.

"Saya sering tertanya-tanya bagaimana ketika zaman beliau boleh terjadi semua ini? Bukankah Perlembagaan Malaysia yang melahirkan Parlimen, kehakiman dan kuasa eksekutif?

"Bagaimana kuasa eksekutif mampu mengubah perlembagaan itu sendiri?" soalnya.

Mengulas mengenai mitos yang berkait-rapat dengan kedudukan orang Melayu dan UMNO, Bastien memberitahu, ianya bukanlah mitos tetapi kenyataan.

"Mitos adalah Selangor yang kononnya ada pada hari ini masih mampu menjaga Melayu, kedudukan orang Melayu di Selangor masih tidak tercabar kerana kuasa orang Melayu masih ada pada Kerajaan Pusat.

Kerajaan Selangor hanya menjaga soal ekonomi dan urus tadbir negeri. Kedudukan orang Melayu tinggi kerana kita orang Islam yang dilindungi oleh Perlembagaan dan dipelihara rapi oleh Parlimen yang dikuasai Kerajaan BN.

"Inilah yang saya ingat perbandingan Malaysia sebelum dan kini untuk menjadi ingatan kepada diri saya dan generasi akan datang," jelasnya.

Tun Daim di dalam pertemuan itu juga dikatakan memberitahu mitos lama bahawa Melayu harus mengundi UMNO untuk selamat, sudah dipecahkan.

Jelasnya, ini kerana Selangor sudah dua penggal diperintah oleh parti bukan UMNO dan orang Melayu masih lagi berkembang maju.