Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan Jemaah Menteri akan membuat perjumpaan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa depan.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub berkata semua Jemaah Menteri termasuk setiausaha politik mereka telah dimaklumkan mengenai perjumpaan bersama SPRM itu bagi satu sesi taklimat.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata sesi taklimat berkaitan pencegahan rasuah itu akan bermula pada jam 9.30 pagi.

"Taklimat ini bukan taklimat biasa-biasa. Ianya adalah agenda yang menjurus bukan sekadar peringatan untuk tidak terlibat dengan rasuah tetapi juga memberikan kami (menteri-menteri) kuasa untuk memerangi amalan rasuah.

"Sebolehnya, kami akan memerangi amalan rasuah itu hingga ke peringkat akar umbi,” katanya ketika berucap di Majlis Dialog bersama Peladang, Penternak dan Nelayan Pasir Salak di Arena Square Chenderong Balai, di sini pada petang Ahad.

Jelasnya, Dr Mahathir juga sentiasa mengingatkan menteri-menteri dalam Mesyuarat Kabinet untuk menjadi lebih berani di dalam tindak-tanduk bagi memastikan kementerian masing-masing bersih daripada amalan rasuah.

Menurut Salahuddin, Jemaah Menteri juga turut diingatkan supaya memberi perkhidmatan kepada rakyat tanpa mewujudkan sebarang ciri-ciri dan amalan rasuah.