Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Presiden Amerika Syarikat yang bakal menggantikan Donald Trump untuk menarik semula pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Pengerusi Perdana Global Peace Foundation itu menegaskan keputusan yang dibuat Trump itu tidak boleh diterima langsung malah mendedahkan dunia kepada bahaya.

"Harapan dan doa saya adalah supaya keputusan ini ditarik semula oleh bakal Presiden AS selepas ini.

"Pengumuman Trump tidak boleh diterima dalam apa juga sudut pandang, dan saya menggesa beliau untuk sedar bahawa beliau telah mendedahkan dunia kepada bahaya disebabkan keputusan tidak bertimbang rasa dan berhati-hati," katanya dalam surat terbuka berkenaan isu tersebut.

Tegasnya, pengisytiharan kedaulatan Israel terhadap Baitulmaqdis bukan sahaja menyindir sistem perundangan antarabangsa malah polisi luar AS.

"Pengumuman Trump itu bertentangan dengan polisi luar AS yang berusia hampir tujuh dekad.

"Malah, ia turut bertentangan dengan Oslo Accord 1993 di mana AS tidak mengiktiraf Jerusalem yang merupakan kota suci bagi umat Islam, Kristian dan Yahudi sebagai ibu negara Israel," katanya.