Tun M hargai sokongan berterusan Jepun ke atas Malaysia

Tun M hargai sokongan berterusan Jepun ke atas Malaysia
Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan rakan sejawatannya, Abe Shinzo dalam pertemuan yang berlangsung di Tokyo, Jepun. - Gambar BERNAMA
TOKYO: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan penghargaan tertinggi kepada kerajaan Jepun yang dipimpin Abe Shinzo atas komitmen berterusan dalam membantu Malaysia mencapai status negara maju.

Dalam satu pertemuan rasmi dengan rakan sejawatannya itu, Dr Mahathir berkata, beliau sangat gembira dengan kerjasama erat yang dicapai secara berterusan antara kedua-dua negara baik dari segi hubungan antara kerajaan, serta hubungan antara sektor korporat.

“Saya sangat gembira apabila komuniti perniagaan di Jepun telah menzahirkan komitmen mereka untuk terus menyokong industri di Malaysia, serta janji mereka untuk membawa lebih banyak pelaburan ke negara kami,” katanya sewaktu memberi ucapan pembukaan dalam pertemuan itu.

Terdahulu, Dr Mahathir tiba di pejabat Perdana Menteri Jepun diiringi Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya, Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Kennedy Jawan serta pegawai tinggi kerajaan Malaysia yang lain.

Shinzo pula diiringi beberapa penasihat kanan beliau antaranya Eiichi Hasegawa, Kentaro Sonoura, Hiroto Izumi dan Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa serta pegawai kanan lain.

Menurut Shinzo, Jepun sangat memandang tinggi kepimpinan Dr Mahathir, terutamanya usaha beliau dalam mengembalikan Malaysia ke negara yang memegang prinsip patuh pada undang-undang, pentadbiran yang berintegriti dan telus serta komitmen dalam mengurangkan hutang negara.

“Jepun akan terus memberi sokongan dan bantuan kepada Malaysia,” kata Shinzo semasa berucapa dalam pertemuan itu.

Selain itu, Perdana Menteri Jepun itu berkata, Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan Dr Mahathir sewaktu era pertama menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-4 serta Dasar Pandang Ke Timur 2.0 yang diperkenalkan sewaktu kembali menjadi Perdana Menteri telah mengeratkan lagi hubungan antara dua negara itu.

“Dengan versi 2.0 ini, Jepun mengharapkan agar kedua-dua negara dapat mengembangkan lagi hubungan ke tahap yang jauh lebih baik,” katanya.


Tag: Tun M hargai sokongan berterusan Jepun ke atas Malaysia, Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Jepun, Abe Shinzo, Dasar Pandang Ke Timur



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.