Walaupun menjangkau usia 93 tahun namun semangat juang tinggi dan kudrat tenaga yang diperlihatkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi inspirasi kepada seorang pekebun untuk berkayuh basikal sejauh 124 kilometer buat kali pertama.

Bapa kepada tiga anak itu, Ahmad Tarmizi Mohamed Zakaria, 48, melakukan kayuhan secara solo bermula dari Kalumpang ke Putrajaya sambil mengibarkan bendera PKR.

Ahmad Tarmizi berkata, inisiatif tersebut bagi mencontohi semangat dalam diri Perdana Menteri tanpa mengira usia demi kepentingan negara.

Menurutnya, sikap sedemikian menjadi inspirasi kepada rakyat terutama golongan muda agar tidak mudah putus dalam mengejar cita-cita walaupun bakal menempuh pelbagai dugaan.

“Tun Mahathir sudah berusia 93 tahun tapi tenaga beliau seperti anak muda kerana mempunyai semangat juang tinggi.

“Sebab itu, saya cabar diri sendiri untuk kayuh basikal sejauh 124 kilometer yang kali pertama saya kayuh sejauh ini selain meraikan kemenangan Pakatan Harapan.

“Tidak dinafikan memang gementar sebab risau juga tidak mampu habiskan kayuhan namun alhamdulillah dalam tujuh jam, saya berjaya sampai di bangunan pejabat Perdana Menteri,” katanya.

Ahmad Tarmizi berkata, dia baharu bergiat dalam aktiviti berbasikal sejak setahun lalu dengan jarak kayuhan paling jauh hampir 40 kilometer.