Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengesahkan penarikan khidmat pengiring trafik ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad kerana bekas Perdana Menteri itu telah melanggar undang-undang dan perlembagaan negara.

Menurut Khalid, khidmat berkenaan telah ditarik balik sejak minggu lepas susulan tindakan Dr Mahathir menyertai perhimpunan haram Bersih, perhimpunan bantah GST dan siri jelajah mengutip tandatangan untuk Deklarasi Rakyat.

"Itu adalah atas keputusan saya sebagai Ketua Polis Negara.

"Apa guna kita beri iringan trafik kepada individu yang melanggar undang-undang dan perlembagaan, kita tidak dapat menyokong apa jua perbuatan yang melanggar undang-undang negara," katanya ketika ditemui media selepas majlis penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara (PKN), di sini hari ini.

Bagaimanapun kata Khalid, khidmat pegawai polis dari Unit Tindakan Khas bagi Dr Mahathir masih lagi diteruskan.

"Kita tidak pernah mahu menarik balik khidmat pengawal pengiring atau 'Bodyguard' Tun M, keselamatan beliau sentiasa lagi dikawal oleh pegawai polis.

"Oleh itu saya berharap Tun M faham terhadap kedudukan PDRM yang mendukung Rukun Negara," ujarnya.

Pada masa yang sama, Khalid turut memberi amaran keras kepada pihak tidak terlatih yang mahu memberi khidmat pengiring secara sukarela kepada negarawan itu.

Menurut beliau, tindakan tersebut hanya membahayakan diri sendiri dan nyawa orang lain.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan pihak Kementerian Dalam Negeri menyerahkan perkara tersebut kepada Ketua Polis Negara kerana isu berkenaan berkaitan operasi dan bukan dasar KDN.