Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sedang mempertimbangkan untuk membatalkan semua projek pembangunan infrastruktur yang disokong oleh China.

Keputusan pembatalan itu diambil terhadap projek saluran tenaga dan projek rel di sepanjang pantai timur yang telah ditandatangani oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

"Kami tidak perlukan kedua-dua projek itu. Kami tidak rasa ia berdaya maju. Jika kami boleh, kami mahu batalkan projek-projek itu," katanya.

Tun Dr Mahathir dalam satu temu bual eksklusif dengan Associated Press (AP), berkata beliau mahu meneruskan hubungan baik dengan China, dan akan mengalu-alukan pelaburan dari negara itu selagi projek itu memberi manfaat kepada Malaysia.


Tonton temu bual penuh di sini - Sumber AP
Sebelum ini, Najib telah menjalinkan hubungan dengan China dalam satu insiatif global 'One Belt, One Road'.

Kerajaan baharu di bawah Tun Dr Mahathir kini telah menggantungkan kesemua projek bersama China yang dijangka menelan lebih 90 juta ringgit.

Kata Tun Dr. Mahathir, sekiranya pembatalan projek tidak dapat dilaksanakan, Malaysia perlu sekurang-kurangnya menghentikannya untuk sementara.

Dr Mahathir berkata demikian beberapa hari sebelum beliau berangkat ke Beijing untuk rangka lawatan pertama beliau ke negara itu selepas Pakatan Harapan memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk sebuah Kerajaan Persekutuan yang baharu.

Dr Mahathir yang bertanding atas tiket PKR memenangi kerusi Parlimen P004 Langkawi dengan majoriti 8,893 undi, menewaskan calon dari Barisan Nasional (BN) dan Pas, Pakatan Harapan memenangi PRU14 pada 9 Mei lalu.

Pemimpin berusia 93 tahun itu turut menyuarakan hasrat untuk mengekalkan hubungan baik Malaysia dan China dan mengalu-alukan pelaburan strategik yang dapat memanfaatkan negara.