Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad optimis konsep penjualan dan pemasaran produk yang dilakukan Kumpulan Alibaba mampu dilaksanakan di Malaysia.
Jelas beliau, walaupun penjualan dan pemasaran produk Malaysia telah meningkat di peringkat global, namun ia masih belum memadai.
“Saya rasa Malaysia boleh menerima manfaat terutama dalam pemasaran produk. Walaupun kami telah melaksanakannya di Malaysia, tapi ia masih terhad.
“Ada situasi di mana sebagai contoh produk bakeri, ia sangat terhad. Bila masuk dalam talian, kini pasarannya meliputi 90,000 orang dengan pengembangan pasaran di Timur Tengah.
“Tetapi ia masih lagi terhad kerana tidak meliputi seluruh dunia. Sistem penyampaiannya juga lemah,” jelas Dr Mahathir semasa sesi perkongsian idea oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba, Jack Ma di ibu pejabat syarikat itu di sini.


Selain memuji Kumpulan Alibaba yang berjaya menggabungkan pelbagai teknologi terkini, Dr Mahathir mahu cetusan idea inovatif Kumpulan Alibaba itu dilaksanakan di Malaysia.
“Anda laksana sistem penyampaian dengan baik termasuk kelajuan, akses informasi, data dan menggunakan pelbagai teknologi moden.
“Saya juga berminat untuk laksana idea inovatif, jadi Malaysia boleh menerima manfaat daripada teknologi moden,” katanya.


Dalam lawatan itu, Dr Mahathir turut diberi penerangan berkenaan perancangan operasi Kumpulan Alibaba di Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).