Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan kedatangan tidak berjadual beliau ke Karnival Rakyat Luar Bandar 1Malaysia disini petang tadi adalah kerana disuruh demi untuk menggerakkan jentera kempen Barisan Nasional (BN) pada hari terakhir berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau.

“Saya dan isteri sebenarnya seharusnya terbang ke Vietnam untuk menyaksikan persembahan seorang anak Melayu yang pandai bermain piano disana. Namun malangnya, isteri saya sakit dan kami tidak dapat pergi kesana. Oleh hal demikian, saya mempunyai kelapangan selama satu hari dan saya memilih untuk kesini. Ini bukan kerana saya disuruh untuk datang kesini sebagai ‘last push’ untuk kempen dan tiada ‘last push’ dalam lawatan ini ” kata beliau kepada pemberita di Kompleks Pertubuhan Peladang Kawasan MADA di Bukit Besar tadi.

Beliau manambah meskipun beliau tidak sihat namun demi sayangkan negara, beliau akan sedaya upaya untuk turun melawat kawasan-kawasan di Kedah termasuk Sungai Limau untuk membetulkan keadaan yang sedia ada.

“Ya, saya tidak berapa sihat tetapi saya sayangkan kepada negara saya. Kalaupun saya sakit, saya akan berusaha sedaya upaya dengan izin Allah S.W.T untuk membetulkan keadaan, itulah sebabnya saya ada hari ini” katanya lagi.

Tun Dr Mahathir turut mendapati semangat penduduk di Sungai Limau terutama yang menyokong BN sangat tinggi dan ianya sangat berbeza dengan zamannya ketika beliau berkhidmat sebagai ahli politik sekitar tahun 1969.

“Saya dapati semangat orang-orang BN memang tinggi dan tidak seperti tahun 1969 dimana banyak kawasan yang saya hendak masuk pun, tidak boleh masuk. Namun, sekarang ini, banyak kawasan sudah boleh masuk dah,’ katanya.

Malah, Tun Dr Mahathir menjelaskan bahawa terdapat orang-orang yang dahulunya begitu menentang BN pun sekarang sudah boleh dan sanggup untuk mendengar penjelasan dari BN mengenai sesuatu isu

“Saya yakin, apabila mereka dapat dengar dari BN, mereka akan berani masuk dan sokong kepada BN kerana jasa BN banyak. Baharu penggal Parti PAS memerintah dan kita boleh lihat tiada apa kemajuan pun. Walaupun pemimpinya cukup baik tetapi kemajuan tidak boleh dicapai, saya yakin dengan adanya kerajaan BN di Kedah ini kita akan lihat kemajuan Kedah yang pesat dan peluang-peluang pekerjaan akan bertambah dan pendapatan penduduk Kedah akan dinaikkan” katanya lagi.

Amanat beliau kepada pengundi di Sungai Limau ialah agar pengundi dapat memilih calon dengan bijak tanpa mengikut perasaan.

“Walaupun ini adalah pilihan raya kecil, tetapi ianya amat penting kepada kita buktikan bahawa kita membuat pilihan yang baik kepada kita, negeri dan negara kita,” katanya.

Seramai 27,222 pengundi berdaftar akan membuang undi esok dalam PRK DUN Sungai Limau yang menyaksikan calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52 ditentang oleh calon PAS, Mohd Azam Abd Samat, 37.