Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dapat menahan sebak ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Setia Spice Convention Centre, Pulau Pinang, hari ini.

“Teruskan usaha-usaha murni tersebut, dan yakinlah ia satu amanah dan tugas yang mulia,” katanya sebelum terhenti seketika, dengan suara yang tersekat-sekat.

“Semoga para guru akan diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan,” sambungnya.

Dalam ucapannya, perdana menteri menyebut betapa beliau menghargai peranan guru dalam usaha membangunkan anak bangsa di negara ini.

Dr Mahathir berkata kehidupan beliau pada hari ini adalah hasil acuan daripada setiap orang guru yang pernah mendidiknya.

“Jika saya dianggap berjaya, ia adalah hasil dari didikan baik yang saya terima daripada guru-guru saya di samping ibu bapa.

“Jika ada kekurangan pada diri saya, ia bukanlah kerana ajaran yang tidak cukup daripada guru-guru saya, tetapi adalah kekurangan daripada diri saya yang gagal menerima sepenuhnya ajaran daripada guru-guru tersebut,” katanya lagi.

Tidak dinafikan isu pendidikan itu sesuatu yang sangat dekat di hati Ahli Parlimen Langkawi itu memandangkan arwah bapanya sendiri, Mohamad Iskandar merupakan pengetua berbangsa Melayu pertama di Maktab Sultan Abdul Hamid, yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH).

Peranan pertamanya dalam ahli Kabinet, iaitu sebagai Menteri Pendidikan juga, barang kali antara sebab utama mengapa Dr Mahathir sangat menitik beratkan isu pendidikan di negara ini.

Dan rakyat juga tidak melupakan, selepas beliau memimpin Pakatan Harapan mencipta sejarah menewaskan Barisan Nasional pada pilihan raya umum yang lepas, Dr Mahathir telah menyuarakan hasrat untuk memegang portfolio sebagai Menteri Pendidikan di samping tugasnya sebagai perdana menteri.

Namun hasrat itu tidak kesampaian memandangkan desakan rakyat agar beliau memegang pada manifesto Pakatan Harapan iaitu perdana menteri tidak boleh memegang portfolio kedua.