Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Xiaoshan di sini bagi memulakan lawatan kerja lima hari ke negara tembok besar itu.

Beliau yang ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali tiba pukul 9.05 malam dengan disambut Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Zainuddin Yahya.

Turut menyambut ketibaan Dr Mahathir adalah Gabenor Wilayah Zheijiang, Che Jun Met dan Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian selaku wakil Kerajaan China.

Beliau sebelum itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, Subang kira-kira pukul 3 petang tadi.

Selain bertemu dengan pemimpin tempatan esok, Dr Mahathir juga akan mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Korporat Kumpulan Alibaba dan Kumpulan Zhejiang Geely Holding.

Beliau turut dijadual menandatangani kepala perjanjian antara Proton Holdings Berhad dan Zhejiang Geely Holding.

Manakala di Beijing, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat Li Keqiang dan Presiden China, Xi Jinping untuk membincangkan isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.